KAPIT, 16 Jun 2025 – Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini menegaskan tiga keutamaan strategik dalam pelaksanaan projek Empangan Hidroelektrik Baleh, iaitu pemeliharaan biodiversiti, pembangunan sektor pertanian serta perlindungan habitat hidupan liar.
Menurut beliau, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan tenaga hijau tidak menjejaskan ekosistem semula jadi.
“Kita perlu tanam lebih banyak pokok. Saya telah mengarahkan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk bekerjasama rapat dengan Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Hutan Sarawak dan Jabatan Pertanian Sarawak bagi merealisasikan agenda ini,” katanya semasa lawatan ke tapak projek Empangan Hidroelektrik Baleh di Kapit, hari ini.
Premier Sarawak turut menekankan pentingnya perlindungan dan pemuliharaan habitat semula jadi bagi memastikan kelangsungan hidup hidupan liar di kawasan berkenaan, selaras dengan matlamat pembangunan yang mampan dan mesra alam.
“Pembangunan mesti bergerak seiring dengan pemeliharaan alam. Kita perlu memastikan habitat semula jadi bagi hidupan liar terus dilindungi demi keseimbangan ekologi yang berterusan,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, untuk menyelaras pelaksanaan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance – ESG), kerajaan turut melibatkan komuniti tempatan dan pemain industri tempatan bagi memastikan manfaat pembangunan dikongsi secara inklusif.
“Saya berharap menjelang tahun 2030, kita dapat menubuhkan Lake Development Authority (LDA) bagi memperkukuh pengurusan sumber asli di kawasan ini. Ia juga akan menyokong aktiviti sosio-ekonomi seperti pelancongan dan pertanian berasaskan sumber semula jadi,” jelas beliau.
Projek Empangan Hidroelektrik Baleh merupakan antara inisiatif utama dalam pelan strategik negeri untuk menjadikan Sarawak sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui di rantau Asia Tenggara menjelang 2030.
“Kita telah belajar daripada pengalaman membangunkan empangan di Batang Ai dan Bakun. Kini, kita sesuaikan pendekatan kita mengikut keperluan semasa dan cabaran perubahan iklim global,” tambah beliau.
Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, YB Dato Sri Julaihi Narawi; Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Parlimen Kapit, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Ahli Dewan Undangan Negeri N.59 Baleh, YB Dato Ibrahim Baki; serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.